Thursday, April 10, 2008

PENENTUAN MATLAMAT

SETIAP individu mempunyai matlamat hidup masing-masing. Jika ditanya apakah matlamat hidup kita, seorang peniaga akan mengatakan matlamatnya ialah untuk maju dalam perniagaannya. Seorang guru akan mengatakan agar ia dapat meningkatkan prestasi pelajar-pelajarnya dan seorang pelajar pula
akan mengatakan tentang harapannya untuk beroleh kecemerlangan dalam
pelajarannya.

Sejauhmanakah matlamat itu akan tercapai? Semua matlamat yang dinyatakan di atas ialah matlamat jangka panjang iaitu suatu hasil daripada tindakan yang dilakukan.

Tetapi pada saya mempunyai matlamat jangka panjang sahaja belum tentu kita akan dapat merealisasikannya. Apa yang saya hendak berkongsi pengalaman dengan para pembaca hari ini ialah setiap individu perlu juga mempunyai matlamat jangka pendek iaitu merupai tindakan serta keperluan yang harus dilaksanakan setiap hari.

Matlamat jangka pendek ialah segala tindakan yang kita perlu ambil setiap hari demi untuk memenuhi matlamat jangka panjang kita iaitu ke arah kecemerlangan.

Jika ia seorang ahli perniagaan, ia perlulah mempunyai satu matlamat bagi setiap hari atau minggu atau bulan. Contohnya seorang ahli perniagaan akan menyusun satu jadual atau pelan yang menunjukkan jumlah dan target barangan yang perlu dijual serta pelanggan-pelanggan yang perlu ditemui untuk tujuan urusniaga.

Bagi seorang guru mereka mempunyai rancangan mingguan dan harian yang menjadi panduan ke arah
melaksanakan tugasan mereka dalam proses pembelajaran di bilik darjah. Rancangan inilah yang merupakan matlamat jangka pendek bagi seorang guru ke arah memenuhi matlamatnya untuk melahirkan anak-anak didik yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.

Bagaimanakah pula dengan seorang pelajar? Menetapkan satu matlamat di akhir persekolahan adalah
sesuatu yang baik kerana ianya merupakan satu destinasi dalam penentuan arah kehidupan.

Tetapi matlamat ini terlalu umum dan tidak mungkin tercapai sekiranya kita tidak berusaha memperolehinya. Setiap usaha memerlukan perancangan sama ada harian atau mingguan dan ianya merupakan satu keperluan bagi kita.

Perancangan dan keperluan inilah yang kita namakan sebagai matlamat jangka pendek seperti kata
pepatah melayu, "Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit". Ianya merupakan satu susunan kerja yang perlu kita lakukan dan mencapainya setiap minggu secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit ke arah kejayaan diri.

Sebagai contoh matlamat-matlamat jangka pendek ini boleh dibuat dalam bentuk seperti berikut:-

  • Jadual kerja: Jadual kerja adalah merupakan satu jadual masa yang menyenaraikan segala kerja sama ada yang berkaitan dengan kegiatan kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah ataupun kerja-kerja yang kita rancang sendiri. Jadual ini akan memberi satu maklumat kepada pelajar-pelajar tentang apa yang harus dilakukan dan dicapai pada hari tersebut.

  • Lembaran Analisis Pelajaran: Ianya merupakan satu helaian yang memuatkan topik-topik bagi satu-satu mata pelajaran yang tertentu yang telah diajar oleh guru sepanjang minggu. Di dalam helaian ini pelajar-pelajar akan mencatat perkara-perkara yang mereka masih tidak faham dan menetapkan satu target masa untuk menyelesaikannya.

Melalui Jadual Kerja dan Lembaran Analisis Pelajaran, pelajar-pelajar akan sentiasa mempunyai satu matlamat jangka pendek dalam proses pembelajaran. Matlamat inilah yang merupakan tindakan-tindakan yang harus diambil dalam menyelesaikan satu-satu tugasan.

Memenuhi matlamat jangka pendek adalah jalan ke arah mencapai matlamat jangka panjang.
Sesungguhnya seorang yang mempunyai matlamat jangka pendek yang jelas serta berusaha mencapainya adalah lebih baik daripada seorang yang mempunyai matlamat jangka panjang tetapi tidak berusaha untuk membuat perancangan dan tindakan untuk mencapainya.

Matlamat jangka pendek adalah merupakan jambatan emas ke arah memenuhi matlamat jangka panjang. Manakala matlamat jangka panjang akan terus menjadi satu angan-angan sekirannya
ianya tidak disusuli dengan tindakan.

0 comments:

Template by : kendhin x-template.blogspot.com