Tuesday, April 22, 2008

Numenmail Runner
Sscripts Runner
Networkjutawan

Monday, April 21, 2008

Menutup Aurat

Definasi aurat dari segi bahasa ialah kekurangan. Dari segi syara' ialah sesuatu yang wajib disembunyikan dan yang haram dilihat.

Pengertian pertama daripada segi syara' ialah berkaitan dengan sembahyang. Menurut pendapat jumhur ulama', disyaratkan menutup aurat sekiranya terdaya, sekalipun ketika berada bersendirian di dalam gelap.

Menurut pendapat ulama' Hanafi, wajib menutup aurat ketika berada di khalayak ramai. Begitu juga ketika berseorangan, menurut pendapat yang shahih daripada mazhab itu. Justeru itu, tidak harus jika dilakukan sembahyang ketika berseorangan secara bertelanjang, sekaliun ia dalam rumah yang gelap gelita sedangkan terdapat pakaian yang bersih.

Wajib menutup aurat ketika bersembahyang dan juga pada masa-masa lain sekalipun ketika berada berseorangan, melainkan jika perlu seperti untuk mandi, buang air besar dan berintinjaa'.

Dalil yang mewajibkan menutup aurat ialah firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"...Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan sembahyang)... ."

(Surah al-A'raaf 7:31)
Menurut Ibnu Abbas. "Apa yang dikehendaki di sini ialah pakaian ketika sembahyang." Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Wahai Asmaa', orang perempuan apabila meningkat umur haidh (umur baligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini dan ini".

Baginda Rasulullah s.a.w. pun menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda.
Menurut ijma' ulama', wajib menutup aurat dalam semua keadaan sama ada waktu sembahyang atau tidak.

Syarat Penutup Aurat

(a) Tebal dan Tidak Jarang

Wajib menutup aurat dengan kain tebal atau kulit atau kertas yang boleh menyembunyikan warna kulit dan yang tidak menjelaskan sifatnya. Jika kain nipis atau jarang boleh menampakkan apa yang di bawahnya atau membayangkan warna kulitnya seperti cerah atau kemerah-merahan, maka tidak sah bersembahyang dengannya, kerana tidak tercapai tujuan menutup aurat.

Sebaliknya, sekiranya kain itu boleh menyembunyikan warna kulit, tetapi membayangkan bentuk dan ukuran tubuh badan, maka sah bersembahyang dengannya kerana ia tidak dapat dielakkan sekalipun memakai kain tebal. Walaubagaimanapun, menurut pendapat ulama' Syafi'i, kain seperti itu makruh dipakai oleh orang perempuan dan khilaf al-Awla bagi orang lelaki.

Menurut pendapat ulama' Syafi'i, syarat penutup islah sesuatu yang tidak menjelaskan warna kulit, sekalipun menggunakan air yang keruh atau tanah. Tetapi tidak boleh menggunakan selubung yang sempit dan keadaan gelap sebagai penutup aurat. Menurut pendapat mereka juga, penutup mestilah suci.

Menurut ulama' Maliki jika penutup itu boleh menjelaskan apa yang di bawahnya, maka ia dikira seperti tidak menutup aurat. Tetapi jika membayangkan apa yang dibawahnya, maka dikira sebagai makruh.

(b) Maksud Menutup Aurat di Kalangan Ulama'

Ulama' Syafi'i dan Hanbali berpendapat hendaklah meliputi semua bahagian yang perlu ditutup, secara berpakaian atau seumpamanya. Tidak memadai menggunakan selubung yang semit dan keadaan gelap sebagai penutup aurat.

Menurut ulama' Hanafi dan Maliki memadai dengan keadaan gelap sebagai penutup aurat ketika darurat. Ini disebabkan menurut pendapat mereka, yang wajib ialah menutup aurat daripada penglihatan orang lain sekalipun penutupan itu dari segi hukum sahaja seperti tempat gelap bukanlah menutup aurat daripada pandangan matanya sendiri, sebagaimana yang difatwakan.

(c) Cara-cara Penutupan Aurat Yang Dituntut

Di kalangan ulama' Hanafi dan para fuqaha' lain, yang dituntut ialah menutup sekeliling aurat. Maka tidak wajib menutup di sebelah bawah atau bahagian baju. Oleh itu, sah sembahyang di atas kaca yang menampakkan semua yang terdapat di sebelah atasnya.

Jika terdapat sesuatu yang boleh menutup sebahagian aurat sahaja, maka wajib menggunakannya untuk menutup aurat, sekalipun dengan tangan sebagaimana pendapat yang asah di kalangan ulama' Syafi'i kerana tercapai tujuan menutup aurat. Sekiranya mencukupi untuk menutup dua kemaluan sahaja maka wajib ditutupkannya. Jika penutup itu hanya cukup untuk kedua-dua kemaluan hadapannya dahulu dan kemudian barulah kemaluan belakang menurut ulama' Syafi'i. Sebaliknya, menurut ulama' Hanafi dan Maliki, hendaklah diutamakan menutup kemaluan belakang dan kemudian barulah kemaluan hadapan. Wajib dikancingkan butang baju atau mengikat di tengah-tengah baju jika boleh menampakkan aurat ketika ruku' atau lain-lain lagi.

Sembahyang Menggunakan Pakaian Yang Haram


Menurut pendapat ulama' Maliki dan Syafi'i sah sembahyang dengan menggunakan pakaian yang haram tetapi penggunaannya haram.

Menurut pendapat ulama' Hanafi, sembahyang menggunakan pakaian tersebut adalah sah, tetapi penggunaan pakaian itu adalah makruh tahriim kerana tidak diharuskan memakainya seperti hukum memakai sutera bagi orang lelaki dan berdosa seperti hukum sembahyang di atas tanah yang dirampas tanpa keuzuran.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com